erantut Bandar Taman Negara

PELBAGAI masakan tradisional menjadi daya tarikan apabila berkunjung ke Jerantut.
JERANTUT 14 Ogos Berada di bandar ini, pasti akan merasai satu kelainan kerana Jerantut kini sudah berubah wajah. Bandar ini kian membangun dengan pesat.
Apa tidaknya, bandar Jerantut berterusan menjadi tumpuan para pelancong, usahawan mahupun penduduk yang hendak menetap atau mencari pekerjaan.
Terletak di laluan utama ke Taman Negara Kuala Tahan, bandar ini mula diuar-uarkan sebagai Bandar Taman Negara.
Secara tidak langsung, produk-produk pelancongan yang terdapat di daerah ini, memberi kelebihan kepada bandar Jerantut dan sekitarnya.
Malah, kedudukan pelancongan di Bandar Taman Negara ini sentiasa menjadi keutamaan kepada pelancong untuk berkunjung sepanjang tahun.
Bagi menjadikan Jerantut terus berkembang pesat, Majlis Daerah Jerantut (MDJ) telah mengatur strategi bagi merealisasikan perancangan tersebut.
Beberapa pendekatan diambil termasuk meningkatkan lagi kemudahan serta daya tarikan terbaharu memandangkan bandar itu sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
MDJ juga dilihat menggunakan segala produk yang terdapat di Jerantut untuk diketengahkan seperti kemudahan rekreasi, golf, sukan, aktiviti lasak, gua, budaya dan banyak lagi.
Dari segi rekreasi melibatkan penjelajahan, Gua Kota Gelanggi yang mengandungi beberapa buah gua lain seperti Gua Balai, Gua Ular, Gua Hijau dan Gua Tangga 99, dilihat berpotensi sebagai produk pelancongan.
Meneroka Gua Kota Gelanggi, ia sesuatu yang amat menarik. Pelancong boleh menghabiskan masa sehari suntuk meneroka gua-gua di sini.
Begitu juga dengan kemudahan golf di Lembah Kiol, ia sesuai untuk aktiviti sukan selain penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Berada di Jerantut, pelancong yang meminati aktiviti lasak juga boleh meneroka kawasan-kawasan pedalaman di mana terdapat air terjun, sungai dan sebagainya seperti di Ulu Salan, termasuk penggunaan pacuan 4x4 dan kenu.
Satu lagi daya tarikan di Jerantut ialah gugusan tanah rancangan Felda dengan produk-produk tersendiri diketengahkan oleh golongan peneroka.
Pelancong boleh merasai kehidupan sebagai peneroka apabila berkunjung ke tanah rancangan di situ.
Untuk menjadikan Jerantut tumpuan ramai, MDJ mahu lebih banyak penganjuran aktiviti dilakukan bukan sahaja dari MDJ sendiri, malah oleh pihak swasta.
Antara program dalam masa terdekat melibatkan Jerantut ialah Merdeka Challenge yang bakal diadakan September ini dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Pahang.
Anjuran Merdeka Challenge bakal melibatkan 50 hingga 100 buah kenderaan pacuan empat roda.
Aktiviti itu mendapat kerjasama Middle Earth yang melibatkan pelbagai aktiviti lasak dan santai. Turut sama menjayakan Merdeka Challenge ialah Kelab Redah 4x4.
Merdeka Challenge melibatkan aktiviti pacuan 4x4, berbasikal, golf dan banyak lagi. Lebih menarik beberapa kategori hadiah disediakan. Yang berminat boleh menghubungi Middle Earth, di talian 012-9819145.
Apa yang pasti, Merdeka Challenge di Lembah Kiol itu bakal mewarnai kalendar Jerantut setiap tahun melibatkan semua peringkat usia.
Ia juga dianggap sebagai aktiviti berkeluarga dan sasaran seterusnya menjadikan Merdeka Challenge bertaraf antarabangsa.
Mengenai perubahan mendadak di Jerantut, Setiausaha MDJ, Wan Norizan Wan Badaruzzaman berkata, antara cadangan difikirkan ialah mengabadikan nama Mat Kilau pada sebatang jalan raya di bandar berkenaan.
Menurutnya, pada masa ini sebuah bulatan telah dinamakan Bulatan Mat Kilau.
Langkah MDJ itu dilihat amat tepat memandangkan nama Mat Kilau adalah catatan sejarah yang mengharumkan nama Jerantut, negeri Pahang dan juga negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan